Grab the widget 

Thursday, September 23, 2010

Umno Menyimpang Di Sabah 50% Bekas USNO Keluar Umno

image

KEGEMILANGAN kerajaan USNO suatu ketika dahulu masih segar dalam ingatan para pengikutnya di seluruh negeri Sabah, malah rata-rata menyatakan hasrat mereka untuk terus berada dalam USNO meskipun pun ia telah terkubur sekian lama dan tidak dapat dipulihkan pendaftarannya oleh ROS, walaupun beberapa usaha telah dilakukan sebelum ini.

Demikian dinyatakan pemimpin veteran yang juga mantan Naib Presiden USNO Datuk Haji Karim Ghani ketika dihubungi pada pagi Jumaat bersamaan 1 Syawal Hari Raya Adilifitri pertama melalui talian bimbitnya 012-8679263.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara (Senator) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah seterusnya berkata, adalah dipercayai bahawa kira-kira lebih 50 peratus bekas ahli USNO yang menyertai UMNO tetapi bertindak keluar dan menyertai beberapa pemimpin lain untuk menghidupkan USNO setelah mereka melihat kelibat UMNO sudah lari menyimpang jauh dari matlamat asalnya.

“Jadi, dalam keadaan sebegini, kita tidak tahu apa akan terjadi sekiranya lebih 50 peratus bekas ahli-ahli USNO menentang UMNO dalam pilihanraya akan datang ini jika tiada usaha untuk membetulkan keadaan ini. Sebab itu saya paparkan nombor telefon bimbit untuk mendapatkan respon daripada bekas-bekas ahli USNO di seluruh Sabah tentang ketidak sokongan mereka terhadap UMNO sebelum saya membuat laporan kepada pihak pusat,” tegas beliau.

Tegasnya lagi, para penyokong USNO yang enggan menyokong UMNO berada dalam keadaan tersepit yang boleh disifatkan mereka kini berada di persimpangan pergentingan jalan yang sukar untuk diputuskan arah mana jalan yang harus dituju untuk dilalui. Mereka (penyokong USNO) merasa amat kecewa kerana beberapa usaha menghidupkan semula USNO telah ditolak oleh ROS termasuklah penubuhan Kelab USNO.

Datuk Karim ketika menyingkap bermulanya kemalapan sokongan rakyat terhadap USNO dapat dibuktikan dalam pilihanraya umum bermula pada tahun 1976 kerana USNO sekadar meraih kemenangan dalam 20 kawasan DUN; tahun 1981 3 DUN dan tahun 1985 12 DUN. Hasil keputusan 3 penggal pilihanraya umum ketika itu, ternyata sokongan rakyat terhadap USNO sudah terus menerus menurun malah tidak mempunyai harapan langsung untuk berkuasa semula di Sabah.

Senario politik di Sabah terus berkocak apabila PBS yang berkuasa menerajui kerajaan di Sabah ketika itu bertindak keluar dari gagasan BN sekitar tahun 1990-an memaksa kehadiran UMNO datang ke Sabah setelah Allahyarham Tun Mustapha ketika itu Presiden USNO memikirkan bahawa USNO tidak mampu menumbangkan kerajaan PBS, pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang terlalu kuat pada ketika itu.

“Kita jemput UMNO ke Sabah bukan kerana apa, tetapi kita mahu menumbangkan kerajaan PBS itu sahaja. Tetapi di sebalik itu kita tidak pula menjangka kelibat UMNO selepas beberapa tahun kebelakangan ini sehingga berlaku ramai bilangan ahli bekas USNO berpaling tadah keluar dari UMNO. So…ini yang kita mahu selidiki,” tambah beliau lagi.

Ketika ditanya peranan beliau ketika membentangkan satu kertas kerja pembentukan Malaysia sekitar tahun 1962 anjuran CiGMa sebuah badan NGO yang turut dihadiri mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Simon Sipaun seolah-olah tidak merestui pemesongan Persekutuan tentang sejarah pembentukkan Malaysia beliau berkata:

“Kita huraikan apa yang sebenar-benarnya berlaku pada ketika itu, khususnya kaedah pembentukan Malaysia daripada tiga wilayah Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak (Singapura menarik diri kemudiannya pada tahun 1965). So, buat apa kita berbohong untuk lari daripada fakta asalnya,” tegas beliau.

0 comments:

Komen Terkini

lain lain artikel