Grab the widget 

Thursday, September 24, 2009

AKU CABAR ANAK MELAKA SILA AMBIL PERHATIAN !

Bukit Katil : Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman menyeru seluruh anak-anak Melaka yang tinggal di perantauan supaya bersama-sama berganding bahu dengan PAS Negeri Melaka untuk menyelamatkan rakyat Melaka dari belenggu pemimpin rasuah yang sedang memerintah negeri Melaka sekarang.

“Anak-anak Melaka yang tinggal di luar Melaka mesti memberi kefahaman kepada ibu bapa dan sanak saudara mereka di Melaka ini agar sedar tentang kepincangan dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional negeri Melaka sekarang”.

“Kerajaan negeri Melaka sekarang dipimpin oleh Ketua Menteri yang melakukan rasuah dan jelas terbukti apabila beliau disabitkan kesalahan melakukan rasuah pada pemilihan Umno yang lalu” kata Ustaz Ghani.

Beliau berkata demikian pada program sambutan Hari Raya Aidil Fitri anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka bagi meraikan anak-anak Melaka yang pulang berhari raya di kampong mereka. Program tersebut dijalankan dengan kerjasama PAS Kawasan Bukit Katil sebagai tuan rumah. Ianya diadakan di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil di sini Selasa lalu.

Ustaz Abdul Ghani juga mengharapkan mereka dapat menyumbangkan bantuan dalam bentuk idea dan wang ringgit bagi membantu PAS Melaka membebaskan rakyat negeri ini dari belenggu penjajahan pemikiran bentuk baru yang masih merasakan bahawa hanya BN yang mampu memberikan kesenangan dan kemudahan kepada rakyat negeri ini.

Menurutnya Pakatan Rakyat negeri Melaka sudah bersedia untuk mengambilalih tampuk pemerintahan negeri Melaka pada pilihanraya umum ke 13 akan datang.

Setakat ini Pakatan sudah memperolehi 5 kerusi DUN maka kita hanya perlu 10 kerusi sahaja lagi pada pilihanraya akan datang”.

“Saya yakin dengan sokongan dan dokongan anak-anak perantauan dan ahli-ahli PAS serta penyokong Pakatan Rakyat yang lain kita akan dapat membebaskan rakyat negeri ini dari kekejaman dan kebongkakan Barisan Nasional yang sedang bermaharajalela sejak lebih 50 tahun dahulu”.

Ustaz Ghani juga menggesa anak-anak Melaka di perantauan supaya mencontohi anak-anak Kelantan di perantauan yang berjaya mempengaruhi keluarga mereka di kampong memilih PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya 2008 lalu.

Sementara itu Presiden Persatuan Anak-Anak Negeri Melaka di perantauan (PERAWAN), Syah Mohd Bashir menyeru seluruh para hadirin yang hadir pada majlis tersebut agar memberikan maklumat tentang keluarga dan kawan-kawan yang tinggal di luar Melaka untuk mereka daftarkan menjadi ahli PERAWAN.

“Kita mempunyai beberapa objektif yang jelas iaitu membantu PAS Melaka dari segi idea dan tenaga dalam usaha kita mencapai hasrat dan tujuan PAS Melaka pada pilihanraya akan datang.”

“Sebab itulah pentingnya kita mendaftarkan seramai mungkin anak-anak Melaka di perantauan kerana tenaga yang ramai sudah tentu kita dapat menggabungkan tenaga mereka untuk menyumbangkan apa bentuk bantuan yang mereka boleh salurkan” kata Syah Mohd Basyir.

Program tersebut mendapat sambutan yang hangat dari rakyat setempat dan anak-anak Melaka di perantauan. Kira-kira 1,000 orang pengunjung membanjiri perkarangan tempat sambutan tersebut yang bermula dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang.

Antara tetamu yang hadir ialah pimpinan Pakatan Rakyat peringkat negeri dan kawasan serta pimpinan PERAWAN.

sumber: SOFI WAHAB at http://mutaligat.blogspot.com/2009/09/bebaskan-melaka-dari-belenggu-bn.html

0 comments:

Komen Terkini

lain lain artikel