Grab the widget 

Friday, October 23, 2009

Pemangku Raja Gesa Teruskan Usaha Dapatkan Royalti

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra menyambut baik usaha proaktif Kerajaan Negeri menuntut bayaran royalti petroleum seperti perjanjian yang telah termaktub antara Kerajaan Negeri dan Petronas pada 1975 bagi negeri ini.

Titah baginda, berasaskan data daripada Jabatan Perangkaan yang diedarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, sumbangan Kelantan kepada pengeluaran petroleum seluruh negara bagi tahun 2005 hingga 2008 adalah lebih tinggi daripada pengeluaran negeri Sabah.

“Pengeluarannya adalah sebanyak 5.4 peratus setahun dan mengikut catatan itu pengeluaran petroleum dari perairan Kelantan telah bermula sejak 2005.

“Kerajaan Negeri hendaklah meneruskan usaha-usaha bagi mendapatkan royalti berkenaan seperti kehendak perjanjian yang telah termaktub antara Kerajaan Negeri dan Petronas,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darul Naim, di sini, kelmarin.

Baginda bagaimanapun yakin di bawah prinsip dan semangat persekutuan, Petronas akan melaksanakan kehendak perjanjian berkenaan yang mengehendaki bayaran tunai dilunaskan sebanyak dua kali setiap tahun.

Titahnya, pembayaran royalti itu nanti, baik tunggakan mahupun bayaran semasa akan meningkatkan pendapatan bagi Kelantan dan jika perkara itu terlaksana, Kerajaan Negeri dinasihatkan supaya membelanjakan royalti tersebut dengan sebaik mungkin.

“Beta difahamkan kawasan pengeluaran gas dan minyak bagi beberapa kawasan pelantar yang paling hampir adalah dengan negeri ini.

“Beta juga berharap Petronas dan Kerajaan Pusat dapat memikirkan penempatan aktiviti keperluan pelantar, pembaikan dan penyelenggaraan kapal-kapal ini berada di bumi Kelantan berdasarkan ia paling hampir,” titahnya.

Baginda berharap jika pembangunan berkaitan aktiviti pengeluaran minyak di perairan Kelantan dapat dikembangkan sudah tentu ia dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara dan dapat menarik pelaburan luar negara ke Malaysia.

Isu royalti minyak ini timbul apabila Kelantan menuntut sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan Pusat berdasarkan pelantar minyak itu dibina di perairan Kelantan.

Kerajaan pusat bagai-manapun sedang meneliti tuntutan Kelantan itu dan kini masih di peringkat kajian secara menyeluruh sama ada Kelantan berhak menerimanya.

Titah Pemangku Raja Kelantan

0 comments:

Komen Terkini

lain lain artikel