Apa nak jadi…………..wangMALAYSIA.
SUBANG JAYA: “Emak saya tahu saya datang ke sini dan tidak menghalang saya bertindik telinga,” kata seorang remaja hanya dikenali sebagai Syairul, antara 21 pelanggan bawah umur yang ditahan dalam operasi bersepadu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi kelmarin.
Dia mendakwa ibunya seorang pegawai kanan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Selangor dan bergelar hajah mengetahuinya mengunjungi pusat hiburan dan tidak menghalang dia berbuat demikian.
“Ini pertama kali saya ke sini kerana hendak sambut hari jadi kawan, lagi pun hari ini (semalam) cuti sekolah dan tidak salah kami bergembira sekali-sekala.
“Malah, tindik di telinga ini pun keluarga saya sudah tahu dan mereka tiada masalah dengannya,” katanya.
Dalam operasi itu, enam pelajar warga asing beragama Islam turut ditahan termasuk seorang daripadanya cuba berbohong tidak menganut mana-mana agama.
Namun, selepas dokumen peribadinya diperiksa, terbukti dia menggunakan nama yang sering digunakan umat Islam selain berasal dari Yaman.
Difahamkan, ketika serbuan, kira-kira 300 pelanggan dalam pusat hiburan itu terutama pasangan remaja sedang ‘dirasuk’ dentuman muzik yang membingitkan.
Lebih menjijikkan, ada kesan muntah di lantai angkara pengunjung yang meneguk minuman keras berlebihan.
Ketua Seksyen Gerakan dan Inkuiri Jais, Mohd Hafidz Ahman, berkata selain remaja Islam bawah umur, Jais menahan dua pelanggan Islam yang meminum arak, lima berkelakuan tidak senonoh serta berpakaian menjolok mata dan lapan pekerja di pusat hiburan itu.
“Remaja bawah umur itu dikenakan kaunseling manakala bagi kesalahan meminum arak, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi tempoh dua tahun jika disabit kesalahan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata pihaknya menyita pelbagai peralatan dan barangan dalam pusat hiburan itu selain lesen perniagaannya akan digantung.
“Pusat hiburan ini pernah diserbu bulan lalu namun pihak pengurusan masih berdegil apabila membenarkan remaja bawah umur memasukinya,” katanya.
“Pada operasi kali ini juga kami menemui pintu rahsia dalam tandas dan kami percaya ramai pelanggan yang sempat meloloskan diri ketika serbuan dilakukan,” katanya. lihat sumber asal
0 comments:
Post a Comment