Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam menasihati seorang lelaki pulang menjenguk ibu bapa dan dua anaknya ketika sambutan Aidilfitri nanti setelah tujuh tahun tidak berbuat demikian.
Hakim Syarie Wan Kamarulazmi Ismail memberi nasihat itu setelah plaintif, Mustafa Ismail, 62, memohon untuk berjumpa defendan, Nasrun Mustafa, 37, yang enggan pulang menjenguk mereka sekeluarga.
Bagaimanapun kata Wan Kamarulazmi, mahkamah sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah supaya defendan pulang, sebaliknya hanya mampu memberi nasihat kepada lelaki berkenaan melalui peguamnya.:
“Untuk perintahkan defendan pulang ke rumah, ia di luar bidang mahkamah kerana ia adalah hak masing-masing, cuma mahkamah boleh nasihatkan dia pulang jumpa anak-anak dan ahli keluarga pada hari raya nanti.
“Peguam boleh nasihatkan defendan pulang pada hari lebaran ini,” katanya ketika mendengar prosiding sebutan semula kes seorang bapa membuat tuntutan nafkah dua cucu yang dijaga terhadap anak lelakinya, semalam.
Dalam tuntutan itu, Mustafa meminta Nasrun melunaskan tunggakan nafkah anak lelaki dan perempuannya berjumlah RM20,000 sepanjang tempoh tujuh tahun kanak-kanak itu berada di bawah jagaannya.
Selain menyelesaikan tunggakan itu, plaintif juga menuntut supaya defendan membayar nafkah dua anaknya yang kini berusia 13 dan 15 tahun sebanyak RM800 sebulan ke dalam akaun kanak-kanak itu dengan cara potongan gaji.
Mustafa yang diwakili Peguam Syarie Fazru Anuar Yusof turut meminta Nasrun hadir ke mahkamah apabila kes itu disebut, untuk berjumpa dan memohon maaf dengannya kerana defendan sudah tidak pulang menjenguk mereka selama tujuh tahun.
Pada prosiding semalam, defendan yang tidak hadir ke mahkamah atas alasan tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan diwakili Peguam Syarie Abdullah Mohamad bersetuju melunaskan semua tuntutan itu.
Ketika mendengar kes tersebut, Wan Kamarulazmi turut memberi kata-kata nasihat kepada kedua-dua pihak dengan menyentuh soal hubungan antara bapa dan anak berdasarkan hukum serta syariat Islam.
“Walau apa juga alasannya, kita kena kembali kepada hukum. Jangan sampai perbuatan kita mengguris hati dan perasaan ibu bapa kerana ia boleh menjadi derhaka, apatah lagi dalam hal ini defendan bertanggungjawab kepada dua perkara iaitu sebagai anak dan bapa.
“Islam sendiri mengatakan Allah akan menyegerakan balasan dosa terhadap ibu bapa ketika atas dunia lagi sama ada bala dari segi kewangan mahupun kesihatan, tapi yang paling kita takut adalah jika Allah tutup pintu hati.
“Itu adalah bala tuhan yang paling besar kerana hidayah Allah tidak akan masuk (ke hati), apabila pintu hati ditutup semua perkara yang kita buat dirasakan betul dan langsung tidak rasa berdosa,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 31 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semua kes dan Abdullah bersetuju untuk menasihati defendan pulang berjumpa dengan bapa serta anak-anaknya pada Aidilfitri nanti.
0 comments:
Post a Comment